Skuad badminton remaja Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dijangka dapat memberikan aksi lebih memberangsangkan apabila barisan bekas pemain negara kembali sebagai jurulatih, antaranya pakar beregu wanita, Amelia Alicia Anscelly, yang melapor diri 2 Januari lalu.

April tahun lalu, Amelia mengambil keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika dia masih bergandingan dengan Soong Fie Cho.

Tidak sampai setahun selepas itu, pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 itu membuat pusingan 'U' untuk bersama dengan badan induk itu, dengan bertanggungjawab membimbing pemain muda SSBJ.

Turut dibawa masuk sebagai jurulatih pada peringkat remaja adalah bekas perseorangan lelaki, Muhammad Hafiz Hashim, Waheeda Abdullah dan Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid.

"Selepas keluar daripada BAM, saya ada fikir untuk menjadi pemain profesional tetapi kejurulatihan lebih sesuai untuk saya.

"Apabila anda bermain untuk negara, BAM adalah tempat terbaik. Kalau keluar, saya tidak fikir ia sama," katanya.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, sebelum ini melahirkan keyakinannya akan membawa kesemua 60 pemain SSBJ untuk berada di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.

Mereka bukan sahaja akan diberi pendedahan daripada sudut latihan, malah aspek pendidikan juga akan dibawa ke akademi itu bagi memberi sebuah persekitaran yang kondusif.

"Kami juga mengenal pasti tanggungjawab yang perlu dilaksanakan Kementerian Pendidikan akan menghantar guru-guru ke sini dan perkara lain yang melibatkan perpindahan ini," kata Norza.