Pengarah Teknikal Bahagian Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mengakui ia akan menjadi satu kerugian besar seandainya perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, memilih untuk bergerak secara profesional.

Seandainya Zii Jia meninggalkan badan induk itu, ia secara langsung akan memberikan impak buat barisan kejurulatihan negara untuk mempersiapkan pemain terbaik dalam tempoh singkat.

Semalam, Nadi Arena melaporkan bahawa Zii Jia mengadakan pertemuan empat mata bersama BAM yang berakhir dengan suasana tegang.

Ia dikaitkan mengenai keputusan juara Kejohanan Seluruh England itu untuk bergerak secara profesional.

Choong Hann, ketika ditanya Nadi Arena mengenai persediaan BAM seandainya kehilangan Zii Jia, berkata: "Bagi saya ia tidak menjadi kerisauan cuma agak kecemasan sedikit kerana kami akan kehilangan pemain nombor satu kami.

"Kemudian, kami perlu segera mempersiapkan pemain baru dengan lebih cepat daripada segi garis waktu kami untuk membangkitkan seorang pemain yang lebih berwibawa selain daripada Zii Jia.

"Dan pada waktu ini, kami sedang berusaha untuk membawa naik pemain lain dan kita nampak (Ng) Tze Yong telah menujukkan perkembangan yang positif dan itulah langkah-langkah persediaan kami.

"Tentang isu Zii Jia itu, memang ada kekecewaan jika ia berlaku," katanya.