Skuad badminton beregu wanita negara kini sudah bersedia untuk meneruskan kehidupan tanpa pengaruh pemain berpengalaman yang telah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sambil mencuri tumpuan menerusi penampilan dalam final Terbuka Hyderabad, semalam.

Hanya gandingan Lee Meng Yean dan Chow Mei Kuan wajar dianggap sebagai kombinasi senior tatkala status Vivian Hoo dan Woon Khe Wei menjadi persoalan selepas Vivian digandingkan dengan beberapa pemain lain sepanjang musim ini.

Antara pemain beregu wanita berpengalaman yang keluar daripada program BAM ketika ini adalah Lim Yin Loo, Tee Jing Yi dan Song Fie Choo.

Bagaimanapun, ketua jurulatih beregu kebangsaan, Rosman Razak, yakin kem beregu wanita kini berada di landasan terbaik untuk terus berkembang ke arah positif.

"Saya rasa ia satu permulaan yang baik memandangkan Terbuka Hyderabad menjadi kejohanan yang kedua buat Meng Yean dan Mei Kuan. Mereka mara ke perlawanan akhir tetapi saya rasa masih banyak perkara yang perlu diperbaiki," katanya.

"Masih banyak aspek keserasian yang perlu disentuh tetapi seperti apa yang saya katakan, ia satu perkembangan yang baik buat mereka.

"Sejak saya jadi ketua di sini, saya melakukan penstrukturan semula dalam kem beregu wanita. Banyak pemain-pemain muda diketengahkan dan peningkatan jelas dapat dilihat. Saya tidak lagi akan menukar mana-mana gandingan dan setakat ini, hanya akan ada proses meningkatkan prestasi mereka."