Kegagalan Datuk Seri Norza Zakaria untuk mencabar jawatan presiden Badminton Asia (BA) di Nanning, China, hari ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuknya terus memperkasakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum melepaskan jawatannya selaku presiden pada 2020.

Pendekatannya yang cenderung memberi peluang kepada pemain muda di pentas tertinggi dunia membangkitkan tanda tanya dalam kalangan peminat badminton tanah air.

Begitupun, segala keraguan terhadap pelan Norza buat masa depan BAM terpadam susulan aksi melawan skuad negara dalam Piala Sudirman 2019 di Nanning, China.

Langkah itu perlu diambilnya demi memastikan Malaysia berada di kedudukan baik untuk memulakan kitaran Sukan Olimpik 2024 selepas temasya Tokyo 2020.

"Kesannya terpulang kepada dirinya sendiri.

"Hanya dirinya sendiri yang tahu apakah matlamat utama beliau untuk merebut jawatan presiden BA tetapi bagi BAM, ia tidak membawa apa-apa kesan.

"Sebenarnya banyak lagi yang perlu beliau tumpukan, khususnya pembangunan sukan itu sendiri (di negara ini)," kata bekas pemain negara, Roslin Hashim.

Pada masa sama, Roslin menawarkan pandangan mengapa bekas pemain perlu diberi peluang untuk berada dalam barisan kepimpinan BAM sekalipun bukan sebagai presiden.

Ini merujuk kepada legenda perseorangan wanita Indonesia, Susi Susanti, yang diberi mandat untuk membentuk struktur pembangunan skuad negara itu.

"Indonesia sudah menampakkan kesan kebangkitan hasil daripada sentuhan bekas pemain-pemainnya.

"Mungkin ada benarnya saranan bekas-bekas pemain Malaysia agar peluang diberikan kepada mereka," tambahnya.