Bekas pemain badminton perseorangan negara, Roslin Hashim, menggesa peminat badminton tanah air supaya bersedia dengan sebarang keputusan yang akan diumumkan Datuk Lee Chong Wei berhubung masa depan kariernya.

Atas faktor kesihatan, pemain itu meninggalkan latihan kem kebangsaan dan belum ada perkhabaran tentang kemunculannya beraksi di pentas kompetitif semula.

Malah, Chong Wei sendiri mengakuinya dalam Nadi Arena semalam bahawa dia kini semakin kesuntukan masa dalam mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Dia harus bermain dari peringkat bawah atas faktor rankingnya. Dia tidak layak beraksi dalam kejohanan bertaraf 750 mahupun 1000.

"Oleh kerana sudah agak lama dia tidak beraksi, faktor inilah yang sedikit mengekang perjalanannya ke Sukan Olimpik," katanya.

Roslin menawarkan pandangan jika jaguh dunia tersebut mengumumkan persaraan, ruang dan tumpuan perlu diberikan kepada pemain muda seperti Lee Zii Jia meskipun banyak perkara perlu diambil berat daripada segi memperbaiki prestasi dan pencapaiannya.

Sementara itu, pemain beregu campuran negara, Shevon Jamie Lai, turut terkesan dengan sebarang perancangan yang akan diumumkan oleh Chong Wei kelak.

"Saya menyaksikan dan belajar mengenai kekuatan mentalnya.

"Dia sudah melalui banyak rintangan dalam kejohanan dan dia berjaya mengatasinya, malah bangkit dengan lebih mantap lagi.

"Adakalanya apa yang saya lalui terlalu kecil berbandingnya, itulah yang mengajar bahawa saya perlu bertabah dalam karier ini," kata Shevon.