"Jadilah dewasa, bukan seperti anak kecil."

Demikian kata-kata itu diungkapkan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, apabila ditanya mengenai gandingan beregu lelaki yang kembali bertaut, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani.


Ternyata tiada jalan mudah buat gandingan yang mengisi ranking ke-32 dunia itu memandangkan kerja keras perlu dilakukan dalam misi menaikkan kembali ranking yang pada suatu ketika pernah berada di kedudukan 10 terbaik, secara tidak langsung menyaksikan bayangan memburu slot kelayakan Sukan Olimpik yang kian menjauh.

Rexy mengakui tiada keterujaan sebaik mendengar perkhabaran yang Sze Fei-Nur Izzuddin akan kembali bergandingan kerana semuanya sudah terlambat.

"Masa mereka berpisah dan masa mereka mahu bergandingan semula sebenarnya berlaku dalam tempoh yang tidak sesuai.




"Kami harapkan mereka sudah sedia menggalas komitmen yang lebih tinggi dalam mengejar atau mengembalikan ranking sebelum ini untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Kalau mereka tidak lagi merajuk kerana hal yang kecil kerana ia hanya tindakan yang merugikan mereka.




"Kalau mereka sedia berikan komitmen lebih, mereka boleh memasuki kelompok 15 terbaik," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Jalil, hari ini.


Dalam pada itu, Sze Fei sedar kesuntukan masa dalam misi memperbaiki ranking mereka sedikit sebanyak menghadirkan tekanan, namun tetap bertekad demi mencari prestasi sebenar.

"Kami akan berbincang tentang soal kejohanan dengan jurulatih terlebih dahulu.

"Kami mahu merealisasikan impian kami tapi terlebih dahulu kami perlu berusaha keras agar ranking tidak jatuh," katanya.