Bekas pemain beregu negara, Koo Kien Keat, berharap pelantikan Rexy Mainaky, oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu mengeratkan lagi kerjasama dalam kalangan pemain -- tiada lagi jurang di antara pemain perseorangan mahupun beregu seumpamanya.

Bekas jurulatih beregu lelaki dari Indonesia itu bakal memainkan peranan membantu Wong Choong Hann apabila bertindak sebagai timbalan pengarah kejurulatihan badan induk berkenaan, bermula 1 Disember depan.

"Tiada sesiapa yang lebih pandai ataupun berpengalaman, setiap orang ada kelebihan tersendiri.

"Yang paling penting kerjasama mereka harus ada, pemain perlu fikir lebih matang. Setiap jurulatih ada kelebihan, pemain perlu tapis apa yang bagus," katanya di Nadi Arena.





Dengan Malaysia kini mempunyai barisan kejurulatihan yang bagus seperti Hendrawan, Chan Chong Ming mahupun Flendy Lempele, Kien Kiat tetap berpendapat kepakaran Rexy bukanlah jawapan tepat untuk mengubah senario semasa dalam sekelip mata, kursusnya di bahagian perseorangan dan beregu wanita.

"Pemain wanita berpotensi tapi masih ada jurang yang jauh, jadi mereka harus berlatih dengan lebih kuat lagi.

"Saya tidak akan cakap Rexy akan lengkapkan kejurulatihan di BAM. Ini adalah kerjasama antara pengarah kejurulatihan dan jurulatih termasuk pemain.

"Masa saya sudah bersara, saya tengok tiada kerjasama dalam BAM. Saya harap kemasukkannya mampu membantu membentuk kerjasama antara kategori," katanya lagi.

Menurut bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim: Sangat senang bekerja dengannya, tiada tekanan walaupun corak latihannya sangat keras, tapi pemain boleh terima."