Persatuan badminton terbaik dunia berupaya menyambar khidmat jurulatih berpengalaman Malaysia, Rashid Sidek, yang sah meninggalkan Akademi Sports Affairs.

Rashid, ketua jurulatih Sports Affairs sejak 2015, berkongsi pengumuman itu di laman sosial peribadinya hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu tidak mendedahkan faktor di sebalik keputusan berkenaan.

Dia, bagaimanapun, akan terus membantu prospek emas badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou, yang masih berpangkalan di Sports Affairs untuk menghadapi temasya Tokyo 2020.

"Saya tidak akan mengulas mengenai keputusan meninggalkan Sports Affairs tetapi saya akan terus membantu persiapan Liek Hou untuk menghadapi Tokyo 2020," kata Rashid.

Persoalan berbangkit sudah pasti terhadap kemungkinan kepulangan Rashid ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas meninggalkan kem kebangsaan untuk Sports Affairs pada tahun yang sama.

"Buat masa ini, saya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kebarangkalian untuk kembali bersama BAM atau tidak."



Editor: Ammar Hakim