Kewujudan isu mengatur perlawanan menyaksikan dua pemain badminton profesional negara, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang, masing-masing dikenakan penggantungan 20 dan 15 tahun sehingga mengundang pelbagai reaksi.

Ada pihak yang bersimpati, namun tidak kurang juga yang berpandangan hukuman itu wajar memandangkan gejala itu membabitkan maruah Malaysia.

Bagi bekas pemain dan bekas jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek, situasi yang berlaku hanya akan merugikan pemain itu sendiri sambil mengakui dirinya terkejut dengan perkhabaran itu.

"Pada pendapat saya, apa yang berlaku diibaratkan sebagai penghujung karier buat pemain tersebut. Jika Chun Seang sudah bersara, sedih melihat Zulfadli kerana dia masih boleh beraksi," katanya.

"Sewaktu zaman saya bermain, isu ini tidak wujud. Kini, segalanya telah berubah dan mungkin perkara ini sudah menjadi satu kebiasaan.

"Saya akui berasa agak terkejut kerana sebelum ini semuanya nampak bagus, termasuk ketika sesi latihan," ujarnya.

Dalam masa sama, Rashid juga berpendapat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu mengawal masalah ini daripada terus berlaku di masa akan datang.

"Nasihat buat BAM, mereka perlu memantau setiap pemain tidak kira di dalam serta di luar gelanggang dan barisan jurulatih juga perlu mengambil berat isu sebegini," tambahnya.