Khabar duka buat pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, apabila terpaksa akur tergelincir dua anak tangga ke kedudukan nombor empat dunia.

Harga mahal dibayar pemain dari Alor Setar, Kedah itu apabila membuka tirai 2023 dengan langkah kiri susulan dua kekalahan berturut-turut di pusingan awal.

Tempat Zii Jia kini diambil alih oleh pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, manakala pemain Denmark, Viktor Axelsen, kekal dengan statusnya sebagai pemain nombor satu dunia.

Seorang lagi wakil Indonesia, Jonatan Christie, memanjat satu anak tangga apabila berubah berada di nombor tiga dunia.

Perubahan ranking itu dikemas kini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebentar tadi.




Cabaran buat Zii Jia yang bergerak solo tanpa jurulatih apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia, awal bulan ini selepas kalah kepada Kodai Naraoka dari Jepun.

Pemain berusia 25 tahun itu turut tersingkir dalam pusingan kedua Terbuka India, minggu lalu selepas tewas kepada pemain China, Li Shi Feng.

Dalam pada itu, tuah buat beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, apabila memperoleh ranking terbaik dalam karier mereka apabila mendaki satu anak tangga untuk berada di tempat kedua.


Kedudukan mereka itu berada belakang pasangan Indonesia, Fajar Alfan-Muhamad Rian Ardianto, yang kekal sebagai pasangan nombor satu dunia.

Pencapaian tertinggi Aaron-Wooi Yik itu turut dipacu hasil kejayaan mereka muncul naib juara Terbuka India di New Delhi, kelmarin.

Skrip berbeza buat pasangan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang terkeluar daripada kelompok 10 terbaik apabila turun satu tangga ke tempat ke-11.

Pencapaian suram tersingkir dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Terbuka India gagal membantu mereka untuk kekal dalam gandingan 10 terbaik.

Dalam pada itu, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang turun dua anak tangga minggu lalu kembali ke kedudukan keenam dunia.

Bagi kategori beregu campuran, kedudukan ranking Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melonjak apabila menghuni tempat ke-57 dunia.

Mereka mempamerkan aksi memberangsangkan apabila mara sehingga suku akhir Terbuka Malaysia sebelum terkandas pada pusingan kedua Terbuka India.

Kredit: Sinar Harian