Bekas jaguh olahraga para negara, Raduan Emeari, menafikan hidupnya melarat selepas kisahnya bekerja di pam minyak tular di laman-laman sosial.

Raduan cukup hebat dalam acara olahraga T36 sewaktu zaman kegemilangannya.

Dia pernah meraih lima pingat emas dalam Sukan Para ASEAN di Nakhon Ratchasima, Thailand pada 2008.

Selepas empat tahun bersara, dia pulang ke kampung halamannya di Kuala Selangor untuk bekerja selain dilantik sebagai penolong jurulatih skuad olahraga para Selangor dan mendapat bantuan kerajaan.

Baginya, pendapatan itu sudah cukup untuk menampung isteri dan anak lelakinya.

"Kehidupan saya OK, tiada masalah. Saya bekerja di sebuah pam minyak di Kuala Selangor," katanya kepada Nadi Arena.

"Selain itu, saya mendapat bantuan kerajaan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat).

"Saya juga merupakan seorang jurulatih dalam skuad paralimpik Selangor.

"Sekarang ini, saya mempunyai tiga sumber pendapatan. Hidup saya baik-baik sahaja. Saya dapat menyara keluarga saya. Saya amat bersyukur," katanya.