Persatuan Badminton Malaysia enggan lagi berkompromi dengan "putaran ganas kesederhanaan" yang membelenggu prestasi skuad kebangsaan dan menjadi faktor utama lima pemain senior ditunjuk jalan keluar daripada kem kebangsaan.

Minggu lalu, BAM mengambil keputusan untuk menggugurkan lima pemain senior, iaitu Soniia Cheah (perseorangan wanita), Goh Soon Huat, Shevon Lai, Lai Pei Jing (beregu campuran) dan Vivian Hoo (beregu wanita).

Susulan itu, pasangan kepada Pei Jing, Tan Kian Meng, mengambil keputusan mengejutkan semalam apabila mengumumkan pengundurannya daripada badan induk itu.

Bagaimanapun, Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria, dalam satu temu bual Nadi Arena hari ini menjelaskan sebab mengapa keputusan itu perlu diambil.

"Ia kerana putaran ganas kesederhanaan. Kami telah memberikan mereka masa bukan sahaja setahun lalu tetapi sudah lebih daripada empat tahun.

"Mereka sudah sampai ke situasi di mana kami fikir mereka perlu memberikan peluang kepada generasi yang lebih muda.

"Kami berasakan pemain yang berada dalam lingkungan umur 22 atau 23 tahun ketika ini, seperti Lee Zii Jia, Aaron (Chia), Soh (Wooi Yik) dan Goh Jin Wei, adalah mereka yang seharusnya berada di barisan depan.

"Dan kami juga beranggapan dengan adanya program remaja di bawah Datuk Misbun (Sidek), ia mampu mempercepatkan kehadiran pemain yang kami rasa akan menjadi pemain muda yang menyerlah.

"Walaupun mereka masih muda, kami boleh memberikan mereka peluang untuk berada di tahap antarabangsa," katanya.