Kelab Badminton Petaling Jaya (Petaling Jaya BC) bersedia untuk melakar kejutan dalam saingan Purple League Pro-Am 2021 apabila mereka giat menjalani latihan menjelang pertandingan yang bakal berlangsung minggu depan.

Mula ditubuhkan pada 2014, Petaling Jaya BC akan memulakan kempen mereka dengan membuat perhitungan berdepan Bandar Maharani BC Selasa depan.

Menurut pengurus pasukan Petaling Jaya BC, Yeo Seow Chung, para pemainnya mempamerkan semangat yang tinggi semasa sesi latihan dan percaya mereka mempunyai peluang untuk mewakili Malaysia pada masa hadapan.

“Mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh. Saya menilai mereka semasa sesi latihan dan saya sentiasa mengingatkan mereka bahawa mereka mempunyai peluang bermain untuk negara satu masa nanti. Saya juga menyasarkan untuk mara ke peringkat separuh akhir tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana kita perlu berdepan pasukan Butterworth BC yang merupakan pilihan pertama kejohanan.”

Walaubagaimanapun, Seow Chung menaruh keyakinan terhadap pasangan beregu Wanita R. Kasturi dan R. Venosha yang muncul naib juara dalam saingan Bangladesh International Challenge baru-baru ini. Menurut mereka, “Walaupun pasukan lain agak kuat, kami sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik sekaligus menyumbang mata buat pasukan.”

Seow Chung juga memuji komitmen Malaysia Purple League (MPL) dan Ketua Pegawai Operasi MPL, Ho Khek Mong yang terus komited menyediakan platform buat pemain muda untuk beraksi secara kompetitif. Tambah beliau, “Pentas sebegini amat penting untuk melahirkan lebih ramai pemain yang berbakat serta menaikkan mutu pertandingan yang kompetitif di dalam negara.”

Petaling Jaya BC akan merebut 2 slot ke separuh akhir di dalam kumpulan B bersama-sama Ampang Jaya BC, Jinjang BC, Rawang BC dan Bandar Maharani BC. Sekiranya berjaya, menanti mereka di saingan separuh akhir adalah 2 pasukan dari kumpulan A sama ada Butterworth BC, DSBC Labuan, Bangi City BC, Seremban City BC atau Serdang BC.

Saingan Top Glove Purple League Pro-Am akan berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya pada 21 hingga 26 Disember. Pertandingan berpasukan campuran ini akan dijalankan dalam format round robin dengan 2 pasukan setiap kumpulan akan layak untuk beraksi di peringkat separuh akhir.