Kelab Badminton (KB) Puchong United menepati ramalan untuk muncul juara Purple League selepas mengetepikan cabaran KB Kepong 10-8 dalam final di Arena Of Stars, Resorts World Genting, sebentar tadi.

Seperti dijangka, aksi final berlangsung sengit. Sedari awal saingan, kedua-dua pasukan bersaing rancak sejak acara perseorangan lelaki.

Apapun, pemain KB Puchong United, Chou Tien Chen, nyata lebih tangkas apabila menang tipis 3-2 (10-11, 11-3, 11-7, 8-11, 11-3) mengatasi pemain KB Kepong, Dey Subhankar.

Dalam acara perseorangan wanita selepas itu, KB Puchong United melebarkan penguasaan menerusi pemainnya, Deng Xuan, yang menang 3-0 (11-7, 11-10, 11-10) mengatasi Qin Jin Jing. Kemenangan itu meletakkan KB Puchong United mendahului 6-2 di hadapan.

Perlawanan semakin mendebarkan dalam acara beregu lelaki apabila gandingan pemain KB Kepong, Liao Min Chun-Su Ching Heng, beraksi kemas mengecewakan pasangan KB Puchong United 3-0 (11-4, 11-10, 11-9). Kemenangan itu membolehkan KB Kepong merapatkan set mata keseluruhan menjadi 5-6.

Tidak mudah hilang konsentrasi, gandingan beregu campuran berpengalaman, Goh Liu Ying-Tan Kian Meng, kembali meletakkan KB Puchong United di atas landasan juara selepas menewaskan Cheah Yee See- Goh Soon Huat 3-1 (11-9, 11-7, 9-11, 11-7). Kemenangan itu membolehkan KB Puchong United semakin selesa mendahului 9-6.

Satu lagi acara perseorangan lelaki menjadi detik penentuan untuk kedua-dua pasukan. Apapun, KB Puchong United yang hanya memerlukan satu set kemenangan bagi mengesahkan kejuaraan Purple League dicemaskan oleh pemain KB Kepong, Lim Chi Wing.

Chi Wing bermula garang apabila berjaya menang dalam dua set awal 11-10, 11-7. Wei Nan, bagaimanapun, tidak menghampakan apabila kembali beraksi baik dalam set ketiga untuk memenangi set tersebut 11-7, sekali gus membawa pasukannya muncul juara buat kali pertama dalam saingan ini.

Pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva, merupakan individu paling gembira kerana memainkan peranan penting dalam membentuk KB Puchong United menjadi sebuah pasukan badminton disegani.

“Empat tahun saya menunggu detik ini. Sejak kali pertama kami menubuhkan KB Puchong United, inilah impian kami. Kami bermula dengan kosong dan kejayaan ini adalah sesuatu yang sangat bermakna kepada pasukan," kata Inozemtseva selepas tamat perlawanan.

“Tahun lepas, saya sangat kecewa kerana kami tumpas dalam perlawanan akhir dan hari ini, nampaknya ia adalah hari yang terindah buat KB Puchong United.

"Saya selalu percaya bahawa untuk menjadi pasukan yang hebat, kami perlu berusaha dari hari pertama kerana ia tidak hadir sewenang-wenangnya. Kami memerlukan pengorbanan dan hari ini ia menjadi kenyataan."

Sementara itu, aksi penentuan tempat ketiga yang berlangsung lebih awal menyaksikan KB Petaling Jaya sekurang-kurangnya berjaya mengubati kegagalan mempertahankan kejuaraan selepas meraih kedudukan ketiga dengan menewaskan KB Cheras 9-2.

KB Petaling Jaya bermula baik dalam acara perseorangan lelaki dengan Goh Giap Chin menang 3-1 (10-11, 11-10, 11-7, 11-10) ke atas Chong Wei Feng.

Dalam perseorangan wanita, Supanida Katethong memberikan mata kemenangan seterusnya buat KB Petaling Jaya selepas menewaskan Shiori Saito 3-1 (8-11, 11-9, 11-3, 11-9) untuk membolehkan pasukannya mendahului 6-2.

Pasangan beregu lelaki KB Petaling Jaya, Chooi Kah Ming-Kim Gijung, melengkapkan kemenangan kelab mereka selepas menang 3-0 (11-8, 11-4, 11-5) ke atas Danny Bawa Chrisnanta- Mohd Arif Latif.

Juara menerima wang tunai RM520,000; naib juara, RM265,000; ketiga RM185,000 manakala keempat pula RM160,000.

Keputusan:

Final:

KB Puchong United mn KB Kepong 10-8

MS1: Chou Tien Chen mn Dey Subhankar 3-2 (10-11, 11-3, 11-7, 8-11, 11-3)
WS: Deng Xuan mn Qin Jin Jing 3-0 (11-8, 11-10, 11-10)
MD: Mak Hee Chun-Yoo Yeon Seong kk Liao Min Chun-Su Ching Heng 0-3 (4-11, 10-11, 9-11)
XD: Goh Liu Ying-Tan Kian Meng mn Cheah Yee See-Goh Soon Huat 3-1 (11-9, 11-7, 9-11, 11-7)
MS2: Wei Nan kk Lim Chi Wing 1-2 (10-11, 7-11, 11-7 Retired)

Penentuan kedudukan ke-3/4:

KB Petaling Jaya mn KB Cheras 9-2

MS1: Goh Giap Chin mn Chong Wei Feng 3-1 (10-11, 11-10, 11-7, 11-10)
WS: Supanida Katethong mn Shiori Saito 3-1 (8-11, 11-9, 11-3, 11-9)
MD: Chooi Kah Ming-Kim Gijung mn Danny Bawa Chrisnanta-Mohd Arif Ab Latif 3-0 (11-8, 11-4, 11-5)

Kedudukan keseluruhan:

Juara: KB Puchong United
Naib Juara: KB Kepong
Ketiga: KB Petaling Jaya
Keempat: KB Cheras
Kelima: KB Petaling
Keenam: KB Ampang Jaya
Ketujuh: KB Bangsar Hawks
Kelapan: KB Serdang