Kelab Badminton (KB) Kepong menepati ramalan mara ke final untuk bertemu KB Puchong United selepas menundukkan KB Cheras 10-4 dalam separuh akhir Purple League di Genting Highlands, malam ini.

KB Kepong sudah menghidu kemenangan ketika pemain perseorangan lelakinya, Subhankar Dey dari India, berdepan jagoan Indonesia, Tommy Sugiarto, yang mewakili KB Cheras.

Selepas menang 11-10 set pertama, Subhankar rebah pada dua set berikutnya kepada Tommy 8-11, 9-11. Namun, selepas itu dia bangkit dengan keputusan 11-9, 4-2 untuk KB Kepong mendahului 3-2.

Qin Jin Jing dari China, yang merupakan pemain pilihan dalam perseorangan wanita, seperti diduga mudah meraih kemenangan 3-0 menewaskan pemain Jepun, Shiori Saito, 11-7, 11-7, 11-8 untuk menjadikan KB Kepong semakin selesa mendahului KB Cheras 6-2.

Kecemerlangan KB Kepong semakin terserlah untuk mereka ke final apabila pasangan beregu lelaki, Liao Min Chun-Su Ching Heng dari Taiwan, turut cemerlang. Mereka menjadikan Tan Boon Heong-Tan Wee Gieen mangsa untuk memberikan pendahuluan 9-3 buat KB Kepong.

Akhirnya, pasangan beregu campuran, Cheah Yee See-Nur Mohd Azriyn Ayub, memberikan mata ke-10 walaupun tewas set pertama untuk KB Kepong mara ke final menerusi kemenangan 10-4.

Mereka mencipta keputusan 6-11, 11-10 berdepan wakil KB Cheras, Pia Zebadiah Bernadet-Terry Hee Yong Kai.

Ketua jurulatih KB Kepong, Mohd Zakry Abdul Latif, berkata: “Perkara yang saya rasa begitu mengejutkan adalah dapat layak hingga ke tahap ini.

"Pemain KB Kepong mempamerkan semangat juang yang tinggi sehingga kami sampai sejauh ini. Peluang untuk menjadi juara ada tetapi kelebihan tetap kepada KB Puchong United menerusi barisan pemain yang dimiliki mereka.

“Sebelum bermain di peringkat akhir lagi, saya sudah ingatkan pemain supaya hanya beraksi bersungguh-sungguh dan tidak ada apa perlu dirisaukan dalam final nanti memandangkan kita adalah pasukan bukan pilihan.

"Saya harapkan mereka dapat mengekalkan momentum seperti yang dipamerkan semasa menewaskan KB Petaling ketika play-off dan juga mengatasi KB Cheras dalam separuh akhir tadi,” kata Zakry.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir petang tadi, KB Puchong United mara ke final menewaskan KB Petaling Jaya 10-3.

Final di antara KB Kepong dan KB Puchong United akan berlangsung Ahad ini, jam 4 petang.


Separuh Akhir:

KB Puchong United mn KB Petaling Jaya 10-3

MS1: Chou Tien Chen mn Goh Giap Chin 3-1 (10-11, 11-10, 11-6, 11-10)
WS: Deng Xuan mn Supanida Katethong 3-1 (11-9, 11-7, 7-11, 11-7)
MD: Mak Hee Chun-Yoo Yeon Seong mn Chooi Kah Ming-Kim Gijung (10-11, 11-10, 11-8, 11-7)
XD: Shevon Jemie Lai-Tan Kian Meng mn Kim Sa Rang-Ti Wei Chyi 1-0 (11-3, Retired)

KB Kepong mn KB Cheras 10-4

MS1: Dey Subhankar mn Tommy Sugiarto 3-2 (11-10, 8-11, 9-11, 11-9, 4-2)
WS: Qin Jin Jing mn Shiori Saito 3-0 (11-7, 11-7, 11-8)
MD: Liao Min Chun-Su Ching Heng mn Tan Boon Heong-Tan Wee Gieen 3-1 (8-11, 11-10, 11-10, 11-9)
XD: Cheah Yee See-Nur Mohd Azriyn Ayub seri dengan Pia Zebadiah Bernadet-Terry Hee Yong Kai 1-1 (6-11, 11-10, Retired)