Bandar Maharani BC (BMBC) berada di kelas tersendiri selepas merangkul gelaran juara Top Glove Purple League Pro-Am 2021 (TGPLPA 2021) selepas mudah mengetepikan cabaran Butterworth BC (BWBC) 9-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya petang tadi.

Biarpun bukan dilabel sebagai pasukan pilihan, BMBC bermula dengan garang menerusi pasangan beregu campuran Zachary Sia-Yap Yee yang menundukkan lawan mereka Tan Yi Han- Goh Jin Wei, 3-1 (10-11, 11-7, 11-7, 11-7).

BMBC tidak berdepan masalah pada pertarungan kedua apabila perseorangan lelaki, Tai Chuan Zhe beraksi cemerlang dengan mudah menewaskan seterunya Samuel Lee 3-0 (11-7, 11-10, 11-7).

Kemenangan BMBC dimuktamadkan oleh bintang muda perseorangan wanita mereka Dania Sofea Zaidi yang mengejutkan lawannya Isabel Liau, 3-1 (11-8, 11-6, 11-10) sekaligus memastikan Bandar Maharani BC membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000.

Mengulas kemenangan bermakna BMBC, pengurus pasukan, Eric Chan berkata, “Saya amat berbangga dengan pasukan. Persiapan kami amat mencabar kerana tidak dapat mengumpulkan kesemua pemain. Tetapi kami dapat mengatasi segala rintangan untuk beraksi sebaik mungkin untuk muncul juara.

“Saya juga gembira melihat Dania Sofea yang banyak menyumbang mata buat pasukan biarpun dia merupakan pemain paling muda di dalam pasukan. Beliau sangat berbakat dan tenang di atas gelanggang.

Sofea yang berusia 15 tahun pernah mencipta sensasi apabila merangkul takhta AEON Credit Purple League Junior pada Mac, gembira dapat menyumbang mata kemenangan buat BMBC.

Menurutnya, “Saya berterima kasih kepada pasukan kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk beraksi buat mereka. Kemenangan pada petang ini menyuntik semangat saya untuk terus bekerja keras bagi mengekalkan prestasi. Saya juga bercita-cita untuk mewakili negara satu hari nanti.”

Bagi Ketua Pegawai Operasi Malaysia Purple League (MPL), Ho Khek Mong, dia mengucapkan Syabas kepada semua pemain yang telah beraksi di kejohanan TGPLPA.

Menurutnya, “Saya dapat melihat ramai pemain yang muda serta berpotensi menunjukkan kematangan mereka ketika beraksi di dalam gelanggang. Saya yakin mereka akan berjaya pada masa hadapan.”
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Top Glove selaku penaja utama yang sentiasa memberi sokongan penuh kepada MPL.

Saingan bagi Purple League akan diteruskan lagi menerusi saingan AEON Credit Purple League Junior 21/22 yang akan bermula pada 8-9 Januari di Melaka, diikuti 15-16 Januari di Kampar, pusingan ketiga di Cheras pada 22-23 Januari dan pusingan akhir akan berlangsung pada 19-20 Februari depan.