Pasukan India mahu menjinakkan Malaysia selepas mereka kini berada dalam situasi yang terdesak untuk mencari kemenangan pertama dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah 2018 di Ipoh, Perak, malam ini.

Selepas tiga perlawanan, India masih gagal mencatat sebarang kemenangan manakala persembahan terbaik adalah ketika mengikat England, 1-1, Sabtu lalu.

Juara Piala Asia 2017 itu sekadar menduduki tangga kelima dengan hanya satu mata dan terbaru, diratah pasukan nombor satu dunia, Australia, 4-2, semalam.

Justeru, hanya kemenangan yang akan mampu memperbaiki kedudukan India dalam peringkat kumpulan ketika ini.

"Setiap perlawanan, kami menjadi semakin baik dan itu yang paling penting. Sudah tentu kami mengharapkan kemenangan esok dan sedar, ia memerlukan persembahan terbaik," kata ketua jurulatih India, Sjoerd Marijne.

Di bawah kepimpinan baru Marijne, yang dilantik pada September lalu bagi menggantikan Roelants Oltmans, jurulatih dari Belanda itu membawa masuk beberapa muka baru seperti Mor Mandeep, Simranjeet Singh, Sumit Kumar dan Shilanad Lakra.

Namun, yang paling mengejutkan adalah kemunculan semula pemain tengah berpengalaman, Sardar Singh, yang sebelum ini digugurkan daripada skuad kebangsaan dan kini menggalas tanggungjawab selaku ketua pasukan.

"Hoki adalah minat saya yang utama dan saya telah berkorban pelbagai perkara untuknya. Apabila saya tidak mempunyai rumah, saya terpaksa berbasikal untuk meneruskan sesi latihan.

"Ia memberikan segalanya buat saya, jadi sasaran saya adalah untuk menampilkan permainan terbaik untuk negara," ujar Sardar.