MALAYSIA 1 INDIA 5

Hasrat Malaysia untuk menghuni tangga kedua carta peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah 2018 dan mencerahkan peluang untuk ke final lebur apabila dikejutkan dengan kekalahan besar 1-5 di tangan India dalam saingan di Ipoh, sebentar tadi.

​"Tentunya keputusan ini satu perkara yang mengecewakan dan kami juga gagal memanfaatkan beberapa peluang yang ada.

"Sepatutnya, apabila ketinggalan, kami harus mempertahankan gawang dan cuba mencari jaringan penyamaan. Malangnya, kami terus dibolosi," kata ketua jurutlatih negara, Stephen Van Huizen.

Selepas mengejutkan juara Sukan Olimpik 2016, Argentina, 2-1 dalam perlawanan ketiga semalam, anak didik Van Huizen berdepan India dengan misi untuk meraih tiga mata bagi memudahkan laluan ke pentas akhir.

Bagaimanapun, semangat penyokong negara yang mengiringi skuad Malaysian Hockey Tigers di Ipoh bagaikan diragut ketika aksi baru memasuki minit ke-10, apabila Shilanand Lakra menjaringkan gol pembukaan buat India.

Tersentak dengan jaringan awal lawan, skuad negara memperkemaskan permainan dan usaha untuk memburu jaringan penyamaan berhasil ketika aksi memasuki suku ketiga.

Pemain sensasi Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari, kembali memberikan harapan buat anak-anak buah Van Huizen apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-33, sebelum Gurjanth Singh mengambil kesempatan daripada situasi kelam-kabut di depan gawang Malaysia untuk kembali meletakkan India 2-1 di depan.

Enam minit kemudian, India terus menjarakkan kedudukan, kali ini menerusi Sumit Kumar yang bijak menyempurnakan hantaran lintang dari sebelah kiri untuk menewaskan penjaga gol, Hairi Abdul Rahman.

Sumit terus menjadi igauan ngeri buat The Malaysian Hockey Tigers apabila percubaan jarak jauhnya membuatkan benteng negara leka dan situasi itu terus disambar Ramandeep Singh pada minit ke-55 untuk membuatkan Hairi tewas buat kali keempat.

Gurjanth melengkapkan pesta gol India di Stadium Sultan Azlan Shah dengan gol kelima dan jaringan kedua peribadi ketika aksi berbaki tiga minit dan kedudukan 5-1 kekal sehingga wisel penamat, meletakkan skuad kendalian Van Huizen terus kekal di tangga ketiga dengan enam mata.

Malaysia bakal menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang England pada Jumaat ini dan kemenangan ke atas England menjadi pertaruhan terakhir mereka untuk merebut tempat ke final bagi edisi kali ini, sambil mengharapkan Australia membenam cabaran Argentina.

"Faktor penat mungkin menjadi punca kepada keputusan pada malam ini. Kami juga sering hilang penguasaan bola di tengah padang," tambah seorang lagi penjaga gol negara, Mohd Hafizuddin Othman.