Selepas persembahan dalam Terbuka China, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, bimbang dengan prestasi semasa yang ditonjolkon pasangan beregu campuran dan beregu lelaki negara.

Sebelum ini, Goh Soon Huat-Shevon Lai menamatkan saingan Terbuka China di peringkat suku akhir, tewas kepada pilihan keempat dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 17-21, 16-21.

Ia jelas bukan persembahan yang diinginkan, lantas Choong Hann mahu pemain bekerja keras mencapai tahap tertinggi bagi menghadapi dua kejohanan akan datang, iaitu Terbuka Denmark yang diikuti Terbuka Paris, bulan depan.

Selain beregu campuran, bekas pemain kebangsaan itu juga menuntut peningkatan prestasi beregu lelaki yang kurang konsisten tahun ini.

"Kami harus melihat daripada segi struktur latihan di mana pertukaran perlu dibuat sama ada daripada segi set atau lebih mendekati tahap antarabangsa yang dipamerkan pemain antarabangsa. Itu bahagian yang akan kami lihat," katanya.

Sementara itu, Choong Hann berpuas hati dengan prestasi perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, meskipun tewas kepada pemain nombor satu dunia, Kento Momota, dalam suku akhir Terbuka Korea Selatan.

"Saya rasa apa yang memuaskan adalah prestasi Zii Jia. Dia semakin stabil dan mantap daripada segi permainan dan bacaan taktikal."

Dalam perkembangan lain, Shevon melihat gandingannya dengan Soon Huat ada peningkatan meskipun rakannya itu dipalit kecederaan kaki yang berlarutan sehingga kini.

Pemain berusia 26 tahun itu kini menggandakan usaha bagi terus meningkatkan prestasi bagi menghadapi kejohanan berikutnya.

"Saya dan Soon Huat melalui Terbuka China dengan lebih selesa kerana sebelum itu keadaan kami tidak begitu baik, prestasi juga tidak konsisten.

"Saya lihat Soon Huat bekerja keras selepas kecederaan dan dia beraksi dengan baik dalam Terbuka China. Saya dapat lihat hasilnya," katanya.

Pasangan negara itu mahu memanfaatkan peluang bertemu pemain bukan pilihan dari Ireland, Sam Magee-Chloe Magee, dalam pusingan pertama Terbuka Denmark sebagai platform untuk mara lebih jauh.

"Ia undian yang baik memandangkan kami tidak pernah berdepan mereka. Ia sesuatu yang baik dan apa yang penting, bagaimana kami kembali ke prestasi terbaik."