Jurulatih skuad bola keranjang wanita negara, Yoong Sze Yuin, mengingatkan bahawa tiada jalan mudah buat anak buahnya untuk kejohanan Pra-Sukan SEA meskipun kebanyakan lawan hanyalah berstatus kelab universiti.

Kejohanan Jemputan Antarabangsa Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) yang bermula hari ini hingga 17 Jun merupakan kejohanan pra-Sukan SEA untuk skuad bola keranjang negara.

Untuk kategori wanita, selain Malaysia bertindak sebagai tuan rumah, sebanyak empat pasukan turut mengambil bahagian, antaranya Universiti Fo Guang Taiwan; Shanghai, China; Sekolah Tinggi Nanshan Taiwan dan Scotland.

Tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kejohanan ini, Sze Yin mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang rendah kemampuan lawan biarpun reputasi mereka berstatus kelab universiti.

"Sebenarnya mereka kuat dan merendah diri. Mereka berada dalam prestasi baik. Kami menjemput mereka untuk kami belajar daripada mereka," kata Sze Yuin.

"Kami sudah bersiap sedia untuk perlawanan ini dan kami mengambil serius setiap perlawanan."

Untuk kejohanan ini juga, skuad negara akan cuba menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang Stadium MABA di ibu negara yang baru siap dibaik pulih.