Giannis Antetokounmpo mengalami kecederaan lutut kiri ketika Milwaukee Bucks tewas 110-88 kepada Atlanta Hawks untuk kedua-dua pasukan kini terikat 2-2 dalam perlawanan keempat siri Final Persidangan Timur hari ini.

Antetokounmpo (14 mata) tersalah mendarat dan mencederakan lutut kirinya pada tujuh minit terakhir suku ketiga perlawanan di Atlanta itu.

MVP NBA dua kali itu bersaing merebut bola di depan jaring dengan John Collins dan Clint Capela sebelum pendaratan kurang kemasnya mengakibatkan dia terhincut-hincut meninggalkan gelanggang ketika Bucks ketinggalan 52-62.

Atlanta -- yang beraksi tanpa Trae Young gara-gara kecederaan bengkak di bahagian tulang kaki -- memanfaatkan ketiadaan Antetokounmpo untuk kini mengikat kedudukan 2-2 dalam penentuan ke Final NBA.

Young tidak pernah beraksi sejak insiden di mana dia terpijak kaki pengadil, Sean Wright, dalam perlawanan ketiga siri itu di Farm Arena.

Bagaimanapun, Hawks membuktikan bahawa mereka tidak terkesan tanpa pemain bintang itu apabila Lou Williams dan Bogdan Bogdanovic membintangi kemenangan terbaru mereka itu ke atas pasukan pilihan ketiga, Bucks.

Wiliams menghasilkan 21 mata, tujuh jaringan daripada sembilan percubaannya dalam aksi playoff pertamanya sebelum Bogdanovic menambah 22 mata lagi.

Aksi playoff NBA seterusnya akan tertumpu kepada Final Persidangan Barat di mana Phoenix Suns berpeluang mengesahkan tempat ke Final NBA seandainya menewaskan Los Angeles Clippers dalam perlawanan keenam di laman lawan pagi esok.