Pemain beregu wanita negara, M. Thinaah, tidak berselindung di sebalik tanggungjawab besar mengibarkan cabaran negara di samping Pearly Tan di pentas Piala Uber, 9-17 Oktober depan.

Ia susulan persaraan Chow Mei Kuan yang meletakkan mereka kini sebagai gandingan tetap terbaik negara iaitu di ranking ke-19 dunia.

Sebelum ini, Thinaah-Pearly lebih memainkan impak sebagai beregu kedua seperti dalam Kejohanan Berpasukan Asia, Februari lalu.




Kempen sukar menanti skuad Piala Uber negara apabila Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara 14 kali; China, tuan rumah, Denmark dan Kanada.

Tetapi juara Terbuka Switzerland 2021 itu yang menjadikan perwatakan pantang mengalah sebagai sandarannya, sedar tiada yang mustahil untuk mereka melepasi peringkat kumpulan.

"Cabarannya agak sukar buat kami tetapi kami tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri memandangkan ini penyertaan pertama kami beraksi dalam Piala Uber.

"Kami mahu menikmati permainan ini dan kami sangat teruja.

"Kami berdepan undian sukar tetapi kami akan menganggapnya sebagai cabaran kerana apa sahaja boleh berlaku dalam kejohanan utama asalkan kami berikan yang terbaik dalam setiap pertarungan."