Kempen Piala Uber merupakan penampilan terakhir beregu wanita negara, Teoh Mei Xing-Yap Ling, yang menduduki tangga ke-68 dunia apabila bakal dipisahkan selepas ini.

Mei Xing bakal digandingkan dengan Anna Cheong selepas ini sementara Yap Ling pula akan bergandingan dengan Go Pei Kee.




Kedua-dua taruhan baru itu akan mengatur langkah pertama masing-masing menerusi Terbuka Republik Czech yang akan bermula Khamis depan sebelum bertanding dalamTerbuka Belgium.

"Sebaik pembubaran ini, kami akan terus menyertai Terbuka Republik Czech dan Terbuka Belgium, saya harap kami sempat membuat persediaan yang cukup," kata Mei Xing.

Ia sebahagian daripada percaturan jurulatih, Chan Choong Ming, sebelum kata putus mengenai kedudukan sebenar mereka pada awal Januari depan.

Menurut Yap Ling: "Saya harap boleh menjadi panduan kepada pelapis, tapi gandingan ini tidak tentu kekal lagi sebab tetap bergantung kepada pencapaian kami selepas ini."