Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, tampil berkongsi mengenai prestasi skuad wanita negara yang boleh dikatakan merungsingkan.

Skuad Uber negara juga gagal merealisasikan sasaran mereka iaitu mara ke aksi suku akhir apabila tewas dua daripada tiga perlawanan Kumpulan C.

"Memang benar pasukan wanita negara tidak mencapai sasaran memasuki suku akhir. Ia berpunca daripada perlawanan dengan Denmark (kalah 2-3).

"Tetapi pemain muda negara telah berikan semangat juang yang tinggi ketika menentang lawan yang lebih kuat," katanya.




Menurutnya lagi: "Orang kena tengok di mana kedudukan mereka sebelum ini. Orang cuma nampak mereka pada hari ini sahaja tapi kami nampak peningkatan ketara jadi kami nampak peluang yang ada.

"Kami sudah berada di landasan itu untuk menghadapi kejohanan yang lebih besar.

"Secara jujur kami masih ketinggalan berbanding dengan gergasi seperti China dan Jepun.

"Tapi kami cuba kecilkan jurang ini."

Dalam masa sama, Choong Hann menegaskan tiada istilah anak emas selepas pemain perseorangan utama, S Kisona, dihujani kritikan gara-gara aksi tidak menentu.

Perjalanan kariernya belum memenuhi jangkaan ramai sejak meraih pingat emas Sukan SEA 2017.

"Dia masih tercari-cari rentak selain dilanda beberapa isu pada tahun lalu. Malah, dia dua kali dijangkiti COVID-19 selain beberapa masalah kecederaan.

"Dia sedang dalam permulaan pemulihannya dan dia seharusnya mampu memikul tanggungjawab ini.

"Mungkin ramai yang kecewa kerana pulangannya tidak setimpal tetapi selagi dia berusaha dan berikan komitmen dalam latihan harian, kami percaya ia akan datang.

"Apabila dia menang ke atas lawan yang handal, semua orang memujinya tetapi sebaik kalah, semua orang mula mempersoalkan kewujudannya dalam pasukan.

"Saya harap sokongan terhadapnya kekal," katanya lagi.