Skuad badminton wanita negara tersingkir daripada saingan Piala Uber selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi peringkat kumpulan, sebentar tadi.

Tewas 3-2 kepada Denmark semalam, barisan pemain wanita negara tidak berjaya mencari jalan untuk memastikan kemenangan apabila tewas kepada Thailand 4-1 dalam aksi kedua Kumpulan C dalam saingan yang berlangsung di Bangkok.

Tewas dalam aksi hari ini bermakna peluang untuk melangkah ke suku akhir lebur dengan aksi terakhir bertemu Mesir malam esok sekadar pelengkap jadual.

Dua kemenangan yang diperoleh Thailand dan Denmark menyaksikan mereka layak secara automatik ke pusingan kalah mati dengan aksi terakhir antara kedua-dua pasukan esok akan menentukan juara dan naib juara kumpulan.

Malaysia menurunkan juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei, yang turun bertemu bekas juara dunia, Ratchanok Intanon, namun tewas 21-14, 14-21, 15-21.

Beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, bagaimanapun menyamakan kedudukan buat skuad negara apabila mengatasi gandingan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 16-21, 21-19, 21-17.

Namun, Thailand kembali mendahului menerusi kemenangan perseorangan kedua mereka, Pornpawee Chochuwong yang menewaskan pemain muda negara, Myisha Khairul 22-20, 21-10.

Beregu kedua tuan rumah, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard memastikan kemenangan awal pasukan itu selepas menundukkan pasangan negara Valeriee Siow-Teoh Mei Xing 21-9, 21-14.

Aksi perseorangan ketiga menyaksikan Busanan Ongbamrungphan menang ke atas pemain negara, Tan Zhing Yi 21-19, 21-6.