Malaysia menamatkan kempen Piala Uber dengan kekalahan yang tidak diduga 4-1 kepada Kanada untuk menamatkan saingan di tempat tercorot Kumpulan D.

Kontinjen kebangsaan itu membuka saingan dengan kekalahan 4-1 kepada Denmark, sebelum tewas 5-0 oleh China dalam aksi kedua peringkat kumpulan hujung minggu lalu.



Skuad negara memasuki perlawanan terakhir sebagai pilihan namun tewas kepada Kanada, segalanya serba tidak menjadi daripada perlawanan pertama.


Perseorangan pertama wanita, S. Kisona, kembali diturunkan, namun tewas 9-21, 14-21 kepada Talia Ng.

Piala Sudirman dan Uber merupakan dua kejohanan yang mahu dilupakan Kisona, kerana gagal menampilkan aksi terbaik serta gagal membutirkan kemenangan dalam perlawanannya.

Teoh Mei Xing-Yap Ling berusaha menampilkan permainan yang lebih baik dalam aksi beregu wanita pertama tetapi gagal mendapatkan kemenangan apabila tewas 21-13, 10-21, 14-21 kepada Rachel Honderich-Kristen Tsai.

Eoon Qi Xuan, yang meraih mata tunggal negara dalam kejohanan ini, mengesahkan kekalahan Malaysia apabila tewas 12-21, 13-21 kepada Rachel Chan.

M.Thinaah-Go Pei Kee mendapatkan mata saguhati buat negara apabila mengatasi Catherine Choi-Crystal Lai 21-12, 21-13 sebelum perlawanan terakhir menyaksikan K. Letshanaa cuba memberikan aksi terbaik namun terpaksa akur dengan kekalahan kepada Zhang Wen Yu 21-17, 16-21, 12-21.