Demikian amanat Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, yang tetap dengan sasaran realistik iaitu layak ke suku akhir buat skuad negara yang beraksi dalam Piala Thomas dan Uber Sabtu ini biarpun mereka mencipta kejutan meraih gangsa Piala Sudirman minggu lalu.

Namun berbeza dengan minggu lalu, skuad lelaki yang beraksi dalam Piala Thomas ibarat sebelah kaki ke pusingan kalah mati, dengan hanya perlu menundukkan Kanada dalam peringkat kumpulan setelah England menarik diri saat akhir.

Manakala skuad wanita dalam Piala Uber pula meniti laluan berliku apabila perlu lepasi halangan tuan rumah, Denmark dan gergasi besar China sambil mengelak dikejutkan Kanada yang turut berpotensi dalam Kumpulan D.

Bagi Norza, BAM enggan meletak tekanan tinggi biarpun skuad muda negara sudah mula menampakkan hasil yang diingini tatkala pada awalnya, ramai yang mempersoalkan tindakan badan induk itu pertaruhkan barisan kurang berpengalaman di kejohanan berprestij kali ini.

"Pemain-pemain negara telah melewati banyak perlawanan dan ia sedikit sebanyak memberikan impak kepada mereka daripada segi tahap kecergasan. Walaupun kami meletakkan suku akhir sebagai sasaran, jangkaan daripada jurulatih dan penyokong akan menyaksikan pemain negara akan berusaha untuk mara lebih jauh," kata Norza.