Meskipun perjalanan Malaysia dalam saingan Piala Thomas terhenti di peringkat suku akhir, namun masih terdapat positif yang boleh diperhalusi menerusi percaturan negara meletakkan pemain muda tidak berpengalaman dalam saingan kali ini.

Kekalahan tersebut juga bermakna Indonesia melebarkan rekod kepada 13 kemenangan daripada 18 pertemuan ke atas Malaysia sejak 1958.

Namun skuad negara yang dibarisi pemain muda tetap boleh berbangga kerana menentang Indonesia yang dibarisi pemain bintang dan ranking dunia lebih tinggi, mereka masih mampu menghadirkan kegentaran buat lawan.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, tetap mempertahankan polisi BAM yang menggunakan seratus peratus pemain daripada badan induk itu kerana ia merupakan pelan jangka panjang dengan saingan kali ini misinya memberi pendedahan dan pengalaman.

Malaysia dari awal lagi hanya meletakkan sasaran mara ke suku akhir dan mereka berjaya melakukannya apabila mara sebagai naib juara Kumpulan D.

"Mereka telah berusaha sehabis mungkin tetapi yang terbaik daripada Malaysia tidak mampu mengatasi mereka," kata Choong Hann.