Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berharap kemenangan selesa ke atas Kanada, awal pagi tadi, bukan sekadar memberi suntikan semangat kepada pemain-pemain, malah ia satu proses yang amat bernilai untuk menjadi pemain yang lebih matang.

Barisan tonggak negara itu membuka kempen Piala Thomas dengan kemenangan 5-0 dalam Kumpulan D di Aarhus, Denmark, lantas mengesahkan tempat ke peringkat akhir sebelum perlu berdepan Jepun, petang esok.

"Saya rasa satu persembahan yang bagus untuk barisan pemain. Walaupun daripada segi perseorangan kedua dan ketiga berdepan pemain yang lebih tinggi.

"Tapi kami tetap mempunyai kepercayaan bahawa pemain negara mampu mengatasi lawan.

"Kami memang jangka (pemain perseorangan) seperti Cheam (June Wei) dan (Ng) Tze Yong bakal berdepan cabaran sengit dan mereka tetap berjaya mengatasinya.

"Ini satu pengalaman yang bagus kerana mereka harus faham bahawa dalam pertandingan berkeamatan tinggi seperti ini, tidak semua perancangan akan berjalan lancar.

"Keupayaan untuk menyelesaikannya dengan segera sememangnya diharapkan daripada mereka.

"Saya yakin pengalaman mereka akan bertambah selepas ini," katanya.




Sementara itu, ketua pasukan, Lee Zii Jia, mengetuai kemenangan negara apabila mudah menjinakkan pemain muda berusia 19 tahun, Brian Yang, yang berada di kedudukan ke-39 dunia dengan straight set.

Pemain perseorangan negara itu menepati ramalan awal tetapi mengakui ia satu proses pembelajaran buatnya agar sentiasa tidak mengambil mudah ancaman lawan.

"Mungkin set pertama yang agak sengit tapi selepas itu kami banyak bermain rali walaupun jurang mata sudah jauh.

"Saya perlukan kuatkan daya fikiran sementara aspek lain pula tidak begitu penting dalam perlawanan ini," katanya.