Pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Chen Long, tidak gusar namanya tiada dalam skuad kebangsaan China untuk menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang juga kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, bulan depan.

Dia sebaliknya menyuarakan keyakinan akan kembali berada dalam skuad utama untuk berentap dalam kejohanan sebenar di Bangkok pada Mei nanti.

Nama Chen Long dan Lin Dan tidak disenaraikan Persatuan Badminton China dalam persiapan Negara Tembok Besar itu untuk menghadapi kelayakan tersebut.

Ia mungkin percaturan China mahu menggunakan kudrat pemain muda tatkala mereka sudah sebelah kaki layak ke Piala Thomas berdasarkan ranking dunia terkini mereka di tangga pertama.

Chen Long mengakui menerima semua keputusan yang telah diputuskan badan induk itu, namun dia tetap berasa kecewa tidak dapat menabur bakti bersama skuad kebangsaan.

Dia terdahulu tersingkir daripada pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, 17-21, 15-21 dalam Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

"Saya tidak pasti mengapa, semuanya diputuskan oleh pihak jurulatih dan pengurusan. Saya hanya ikut pelan mereka.

"Memang agak terkilan sebab tidak dapat beraksi dalam pusingan kelayakan tetapi masih ada peluang dalam kejohanan sebenar Mei nanti," katanya.