Perseorangan lelaki badminton negara, Leong Jun Hao, bertekad untuk memanfaatkan kejohanan dalaman Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai pentas untuk membuktikan bahawa kredibilitinya masih belum pudar.

Biarpun dipalit dengan siri kecederaan sebelum ini, bekas juara remaja Asia 2017 itu masih belum berputus asa untuk memburu tempat ke Kejohanan Badminton Piala Thomas di Aarhus, Denmark bulan depan.

Jun Hao kini perlu bersaing dengan lima pemain lain untuk merebut tempat selaku perseorangan skuad negara.

Sejak menyertai skuad senior pada 2018, pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 22 tahun itu kerap mengalami kecederaan jangka panjang yang membantutkan perkembangan kariernya.

Kecederaan itu juga hampir meragut peluangnya untuk beraksi dalam Piala Thomas sebelum kejohanan dwitahunan itu ditunda setahun berikutan pandemik koronavirus.

Juara Terbuka Poland 2021 itu juga menyedari rankingnya tidak terlalu jauh dengan perseorangan lain dan percaya dia mampu meyakinkan barisan kejurulatihan bahawa dia mempunyai kualiti yang diperlukan dalam acara berpasukan.

"Kecederaan saya sudah tidak menganggu kerana ia sudah pulih dan pergerakan saya juga kini sudah lebih baik dan stabil," katanya kepada Nadi Arena.

"Saya memang akan berusaha untuk bersaing (ke Piala Thomas) kerana kami berlatih bersama-sama setiap hari dan tahu tahap permainan sesama sendiri.

"Tekanan itu memang ada tetapi saya perlu mengatasinya," katanya.