Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mahu membuktikan dirinya bukan penumpang biarpun kredibilitinya sebagai pemain senior semakin tergugat.

Apatah lagi tiga slot utama sahaja yang akan turun beraksi di dalam gelanggang nanti menjelang aksi pertama Piala Thomas bertemu Kanada.

Nama Jun Hao seakan malap daripada arena badminton negara selepas bergelut hampir setahun setengah gara-gara kecederaan belakang yang kerap berulang.

Dalam tempoh itu, dia tanpa berselindung pernah terfikir untuk menggantung raket, namun cekal untuk meneruskan proses pemulihan dan berusaha untuk mendapatkan tempat semula dalam skuad kebangsaan.

"Pada mulanya, kecederaan saya agak mengganggu saya sebelum ini tetapi selepas sokongan daripada jurulatih dan keluarga membantu saya untuk kekal yakin sehingga pulih dan boleh beraksi," kata Jun Hao.

Jun Hao adalah antara empat pemain yang masih kekal daripada skuad Piala Thomas negara di Bangkok 2018 bersama Datuk Lee Chong Wei dan sempat beraksi menentang Algeria di peringkat kumpulan.

Dengan kedudukan Lee Zii Jia sebagai kapten pasukan kekal akan menjadi perseorangan pertama yang bakal turun nanti, Jun Hao perlu bersaing dengan tiga lagi pemain iaitu Cheam June Wei, Aidil Sholeh Ali Sadiki dan Ng Tze Yong untuk merebut peluang beraksi.

"Misi peribadi adalah turun beraksi dalam saingan Piala Thomas. Turun sebagai pilihan ketiga amat penting kerana ia menentukan pemenang dalam setiap perlawanan jika kedudukan sudah terikat 2-2."