Indonesia menamatkan penantian kejuaraan selama 19 tahun dengan menewaskan juara bertahan, China, 3-0 dalam final Piala Thomas di Aarhus, Denmark malam tadi.

Tanpa perseorangan utama, Shi Yuqi, yang mengalami kecederaan ketika tewas kepada Kento Momota (Jepun) dalam separuh akhir, China terpaksa mempertaruhkan Lu Guang Zu dalam perlawanan pembukaan tetapi pemain di ranking ke-27 dunia itu ternyata tidak dapat menandingi pemain nombor lima dunia, Anthony Sinisuka Ginting, yang meraih kemenangan 18-21, 21-14, 21-16 dalam masa 77 minit.

Rentak kemenangan Indonesia diteruskan gandingan Fajar Alfian-Rian Ardianto,yang tidak berdepan masalah untuk menewaskan beregu China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong, 21-12, 21-19 dalam masa 43 minit.

Kejuaraan Indonesia akhirnya disahkan oleh perseorangan lelaki nombor tujuh dunia, Jonatan Christie, apabila pemain berusia 24 tahun itu menamatkan perlawanan epik selama 82 minit dengan kemenangan 21-14, 18-21, 21-14 ke atas Li Shi Feng.

Sebagai rekod, kali terakhir pasukan Merah Putih itu menjuarai Piala Thomas adalah pada tahun 2002.

Kejayaan itu juga menyaksikan Indonesia melebarkan rekod selaku pasukan dengan kejuaraan terbanyak, iaitu dengan 14 gelaran, manakala China pula kekal selaku pasukan kedua terbanyak dengan 10 kejuaraan.




*Kredit foto: BWF