Biarpun Liew Daren disenaraikan sebagai pemain perseorangan kedua menjelang Kejohanan Piala Thomas di Aarhus, Denmark bulan depan, ketua jurulatih skuad perseorangan lelaki negara, Hendrawan, menjelaskan ia hanyalah satu strategi untuk menutup kekurangan pasukannya.

Sebaliknya, tiga pemain muda lain yang tersenarai akan memainkan peranan utama dalam kejohanan itu.

Dengan kehadiran Daren, ia akan memastikan pasukan lawan tidak memandang rendah keupayaan Malaysia, yang akan dibarisi Cheam June Wei, Leong Jun Hao dan pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia.

Jelas Hendrawan, pengalaman yang dimiliki Daren dapat membantu pasukan muda negara itu dengan memainkan peranannya sebagai pemain paling senior.

"Pemain utama adalah Zii Jia, Cheam dan Leong," katanya kepada Nadi Arena.

"Daren akan pergi sebagai (pemain) sokongan.

"Dalam pasukan memang dia diletakkan di ranking nombor dua sebagai strategi dan untuk memberi peluang kepadanya.

"Dalam mesyuarat memang kami tahu Daren ada kekurangan dalam acara berpasukan tetapi demi taktik dan strategi, ia agak penting," katanya.

Sementara itu, Hendrawan turut mengesahkan pemenang Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Tze Yong, akan turut dibawa ke Denmark bagi membantu persiapan terakhir skuad negara.

"Kerana Tze Yong masih dianggap muda, dia akan dipersiapkan untuk menghadapi kejohanan berikutnya.

"Dia belum pernah bermain dalam kejohanan besar, jadi dia akan bermula dengan Sukan SEA tahun depan," tambahnya.