Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, tidak menolak kemungkinan bakal menurunkan beregu eksperimen dalam Kejohanan Badminton Piala Thomas di Aarhus, Denmark bermula esok.

Ia bagi mengelakkan strategi mereka mudah dibaca lawan selepas mara ke separuh akhir Piala Sudirman minggu lalu

Sesi latihan pertama di Ceres Arena hari ini menyaksikan barisan pemain negara mula menyesuaikan diri dengan gelanggang kejohanan.

Antara yang mencuri tumpuan adalah kelibat Aaron Chia yang berpasangan dengan Nur Izzuddin Rumsani, manakala Soh Wooi Yik pula dilihat bergandingan dengan Tee Kai Wun sepanjang latihan itu.

Ia menimbulkan persoalan mengenai rombakan beregu lelaki menjelang pertemuan dengan Kanada pada Selasa ini tetapi Choong Hann, sebagai memberikan respons, berkata bahawa dia akan mengadakan perbincangan dengan jurulatih, Flandy Limpele, bagi menentukan gandingan terbaik untuk melayakkan pasukan ke suku akhir.

Choong Hann berkata kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri: "Saya kira ia agak sedikit rumit buat masa ini kerana kami perlu memilih sama ada untuk menggunakan pemain muda bagi mendapatkan pengalaman atau menurunkan pemain utama untuk mereka mendapatkan suasana di dalam gelanggang.

"Itulah yang sedikit mengganggu fikiran tetapi kami sedang melakukan penilaian sepanjang latihan selama dua hari di sini, jadi ia akan ditentukan kemudian."