Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, menerangkan mengapa pembentukan skuad Piala Thomas bagi edisi 2020 di Aarhus, Denmark tidak membabitkan kudrat profesional.

Dengan bakat muda bakal menggalas tugas Oktober ini, adakah Malaysia sekadar beraksi untuk pendedahan atau turun dengan sasaran tertentu.

Choong Hann menegaskan pandemik COVID-19 yang masih di tahap serius sebagai faktor mengapa pemain profesional tidak dijemput untuk saingan pemilihan yang bakal dianjurkan sebelum skuad diumumkan pertengahan September ini.

Dan perancangan itu kekal meskipun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menambah kuota anggota skuad Piala Thomas dan Uber daripada 10 ke 12 individu.

"Sukar untuk pemain profesional menjalani latihan tetap dan kini berbaki satu bulan proses pemulihan merupakan sesuatu perkara yang mencabar sekaligus menjadi salah satu sebab keputusan ini diambil," kata Choong Hann.

"Salah satu lagi keputusan ini diambil merupakan atas faktor persiapan untuk masa akan datang sekaligus mematangkan lagi barisan pemain muda untuk memikul tanggungjawab."

Sasaran asal BAM untuk skuad Piala Thomas sebelum undian dilaksanakan BWF 18 Ogos lalu adalah untuk ke separuh akhir.

Tetapi Choong Hann tidak berselindung di sebalik keperluan untuk mengubah sasaran sesuai dengan kemampuan skuad yang akan diumumkan nanti.