Pemain beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia, berasakan barisan yang bakal ditampilkan Malaysia dalam Kejohanan Piala Thomas memiliki kredibiliti tersendiri meskipun mentah pengalaman.

Aaron, yang menghadiahkan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, dicanang oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) antara taruhan utama di Aarhus, Denmark, pada 9-17 Oktober depan.

"Cuti 10 hari ini saya gunakan untuk berehat dan bersama keluarga.

"Berdasarkan permainan, kita tahu beregu Jepun agak kuat, (peluang dengan) England pula 50-50 sementara di atas kertas, kami ada sedikit kelebihan ke atas Kanada," katanya di Nadi Arena hari ini.




Malaysia juga memiliki beberapa taruhan muda yang meningkat naik seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Chang Yee Jun-Chia Wei Jie.

Lebih-lebih lagi kelibat Wei Chong-Kai Wun yang menjuarai Terbuka Poland, Mac lalu, untuk dijadikan sebagai sandaran skuad negara.

"Barisan pemain tahun ini dilihat lebih erat sebab kami sudah berlatih bersama agak lama.

"Baik beregu pelapis dan remaja boleh bekerjasama, apa sahaja boleh terjadi."