Biarpun tanpa kelibat England dalam peringkat kumpulan saingan Piala Thomas, pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, memasang misi peribadi mahu menebus semula kekalahan ke atas pasangan Jepun dalam separuh akhir Piala Sudirman minggu lalu.

Pasukan negara bermula tempang dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman bertemu Takuro Hoki-Yuko Kobayashi sebelum mereka tewas 3-2 sekaligus gagal menempatkan diri ke final.

Tekad membalas dendam atas kekalahan tersebut, Aaron mahu memastikan penilaian yang dilakukan berdasarkan perlawanan tersebut dapat direncana semula menjelang aksi peringkat kumpulan Piala Thomas di Aarhus, Denmark nanti.

"Dalam perlawanan sebelum ini, Jepun telah membuat persiapan yang lebih baik dan telah mencari jalan untuk mengatasi kami," kata Aaron.

"Kami akan berbincang dengan jurulatih dan menilai semula persembahan yang dipamerkan sebelum ini dan mencari jalan untuk memperbaiki lagi permainan kami."

"Ketiadaan England memberikan tempoh rehat yang lebih banyak buat pasukan Malaysia berbanding pasukan dalam kumpulan lain. Memenangi satu perlawanan sudah memastikan kami untuk melangkah ke pusingan seterusnya," kata Aaron.

Berbincang mengenai pasukan Kanada, Aaron berkata, "Atas kertas kami berkemampuan untuk mengatasi mereka. Tetapi kita dapat melihat peningkatan dalam mutu permainan mereka dalam saingan terdahulu merupakan sesuatu yang perlu diberikan tumpuan."