Sejak pulang daripada kempen Sukan Olimpik Tokyo 2020 2 Ogos lalu, Aaron diberi ruang meluangkan masa bersama keluarga di Melaka selama 10 hari.

Kem kebangsaan kini menjalani persiapan untuk menghadapi Piala Sudirman dan Piala Thomas/Piala Uber di Finland serta Denmark, bermula hujung bulan ini.

Dalam waktu itu juga, dia diraikan kerajaan negeri sebelum pulang ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pada 24 Ogos lalu di mana dia perlu menjalani kuarantin.

Masih dalam tempoh berkurung, Aaron bagaimanapun dibenarkan untuk berlatih secara bersendirian.

"Saya rasa bersemangat untuk memulakan latihan selepas diberikan cuti. Walaupun sedang berehat, tetapi saya masih buat latihan ringan.

"Saya kini berasa segar semula.

"Saya memang teringin untuk kembali berlatih tapi ketika ini hanya dapat memerhati dari jauh.

"Lagi beberapa hari barulah saya akan dibenarkan turun ke gelanggang," katanya.





Pemenang pingat gangsa temasya Tokyo 2020 bersama Soh Wooi Yik itu turut berbesar hati dengan kemunculan beregu muda, Yap Roy King-Nurfirdaus Azman, yang menjuarai Terbuka Antarabangsa Latvia, kelmarin.

Malah, beregu remaja nombor satu dunia, Wan Arif Junaidi-Haikal Nazri, naik 42 anak tangga untuk kedudukan ke-238 dunia ranking senior susulan kejayaan itu.

"Ia boleh melonjakkan keyakinan mereka dan ranking dunia.

"Walaupun ia kejohanan bertaraf cabaran tapi perlahan-lahan (mampu bantu mereka baiki kedudukan).

"Kami juga begitu sebelum ini dan inilah jalan yang mereka lalui."