Percaturan menurunkan pemain muda serta berpengalaman tidak menjadi buat bahagian beregu lelaki negara, sekali gus gagal menjadi faktor penentu dalam kempen Piala Thomas kali ini.

Kekurangan beregu yang kompetitif dalam skuad kebangsaan begitu ketara dengan hanya satu pasangan utama dibawa ke Bangkok, Thailand, iaitu Goh V Shem-Tan Wee Kiong, manakala dua lagi pasangan menyaksikan campuran antara Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Teo Ee Yi-Arif Latiff.

Dua perlawanan peringkat kumpulan menentang Russia dan Algeria tidak mendatangkan sebarang masalah buat beregu negara untuk mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Namun, petanda awal kemampuan mereka teruji sudah pasti dalam pertemuan menentang Denmark bagi aksi terakhir kumpulan yang menyaksikan V Shem-Wee Kiong serta Aaron-Eei Yi tumpas kepada lawan masing-masing.

Kebimbangan terhadap keupayaan mereka lebih ketara dalam aksi suku akhir menentang Indonesia.

"Perasaan kami bercampur-baur.

"Ada masa kami bermain bagus, cuma kalah kepada diri sendiri dalam set ketiga," kata Ee Yi.

V Shem-Wee Kiong, yang turun berdepan beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sandaya Sukamuljo, tumpas dalam pertarungan tiga set.

Sementara itu, Aaron-Eei Yi perlu menang ke atas Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, namun pengalaman menjadi pemisah apabila mereka juga dikecewakan lawan selepas permainan berlanjutan ke set penentuan.

Jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, mengakui anak didiknya tewas kepada lawan yang lebih baik tetapi beranggapan ia pendedahan yang cukup baik buat pemain muda seperti Aaron untuk menimba pengalaman.

"Walaupun kita tewas, permainan pemain beregu mempamerkan semangat juang. Kebanyakannya tewas dalam set penentuan," kata Soon Kit.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, pula menyeru lebih banyak gandingan yang lebih kompetitif dibentuk supaya mereka dapat memberi saingan kepada kedudukan V Shem-Wee Kiong sebagai beregu utama negara.

"Sama ada relevan atau tidak, terpulang kepada persediaan kita. Kalau kita sanggup mengenal pasti pemain pelapis bagi persiapan Sukan Olimpik 2020, kami akan mengetengahkan pemain yang lebih baik lagi.

"Buat masa ini, merekalah beregu terbaik negara, kita harus akuinya," katanya.