Pemain beregu lelaki meningkat naik negara, Aaron Chia, akan membuktikan bahawa pengkritik silap kerana meragui kemampuan dan gandingannya, Soh Wooi Yik, yang menjadi sebahagian daripada skuad Piala Thomas negara.

Pemilihan Aaron dan Wooi Yik sebelum ini mencetus tanda tanya terhadap risiko yang diambil barisan kejurulatihan.

Ramai yang tidak sedar dengan kemampuan mereka sehinggalah gandingan ini layak ke final Kejohanan Cabaran Antarabangsa Terbuka Malaysia bulan lalu.

Penyenaraian mereka turut menyaksikan gandingan kedua terbaik kebangsaan, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin, dipisahkan sementara, dengan Ee Yi sahaja dipilih ke Bangkok, Thailand.

"Ini merupakan kali pertama nama saya tersenarai dalam skuad Piala Thomas.

"Saya berasa teruja dan bersemangat untuk berjuang demi negara.

"Sekarang saya masih tidak dapat mengulas sama ada dapat mengawal tekanan di Bangkok nanti tetapi kami cuba berikan yang terbaik untuk menghadapi tekanan," kata Aaron sempena kejohanan edisi ke-30 itu.

Berbicara dengan Aaron, Malaysia boleh menaruh harapan kepada mereka jika diturunkan ketika Malaysia menghadapi juara bertahan, Denmark, Algeria atau Russia di peringkat kumpulan.

Lihat sahaja kepada keyakinannya ketika diajukan persoalan terhadap keperluan memikul tugas berat ini.

"Kami mahu memberi cabaran tanpa mengira sama ada yang ditentang itu merupakan beregu nombor satu ataupun dua dunia. Kami akan tetap berjuang sebaik masuk ke gelanggang," katanya lagi.