Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, bakal turun beraksi dalam saingan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland Isnin ini.

Tampil dalam saingan tersebut buat kali ketiga selepas beraksi pada 2017 dan 2019, pemain berusia 22 tahun itu turun ke gelanggang sebagai sandaran utama dalam kejohanan berpasukan campuran itu.

Zii Jia yang juga juara All England 2021 menerima sokongan positif daripada bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

"Zii Jia bakal berdepan tugas yang cukup sukar bukan buat dirinya sahaja tetapi untuk memberikan semangat buat rakan sepasukan untuk beraksi baik di gelanggang. Saya agak teruja menyaksikan Zii Jia menguruskan kesemua rakan sepasukannya pada Piala Sudirman 2021," mengambil petikan kata-kata Chong Wei daripada Astro Awani.

Chong Wei turut menjelaskan pentas Piala Sudirman 2021 terbaik bagi pemain muda meningkatkan prestasi masing-masing, kerana mereka akan memperoleh pengalaman dan pendedahan berharga berhadapan pemain-pemain yang lebih berpengalaman.

Malaysia akan bertemu England dalam aksi pembukaan Kumpulan D mereka Isnin ini (27 September), diikuti Mesir pada hari berikutnya sebelum melengkapkan jadual perlawanan peringkat kumpulan dengan bertemu pemenang tempat kedua edisi 2018, Jepun pada 30 September.