Siapa sangka barisan muda negara, yang hanya meletakkan sasaran ke suku akhir, dapat menumbangkan skuad berpengalaman Indonesia untuk mengulangi pencapaian layak ke separuh akhir Piala Sudirman buat kali pertama sejak 2009.

Meskipun kesemua pemain Indonesia yang diturunkan dalam perlawanan di Energia Arenaa, Finland itu mempunyai ranking yang lebih tinggi, pasukan negara mempamerkan semangat juang yang cukup hebat sebelum mengesahkan kemenangan 3-2 dalam masa hampir enam jam, awal pagi tadi.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tidak berdepan sebarang masalah untuk menumbangkan gandingan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Biarpun berbeza tujuh anak tangga dalam kedudukan rangking dunia, beregu negara itu hanya memerlukan 33 minit untuk merekodkan kemenangan mudah 21-12, 21-15.

Perseorangan wanita negara, S. Kisona, yang turun beraksi pada ulang tahun kelahirannya yang ke-23, memberikan sedaya yang termampunya dan hampir berhasil mengejutkan pemain di ranking ke-21 dunia, Gregoria Mariska Tunjung.

Kisona, yang berada di rangking ke-53 dunia, mengheret Gregoria untuk beraksi selama 1 jam 7 minit sebelum tewas tipis 20-22, 21-18, 19-21.

Ketua pasukan, Lee Zii Jia, kembali membarakan semangat skuad negara menerusi acara perseorangan lelaki selepas membenam cabaran pemain nombor lima dunia, Anthony Sinisuka Ginting.

Zii Jia, yang juga merupakan perseorangan lelaki di ranking kelapan dunia, mempamerkan penguasaan total sebelum menang mudah 21-11, 21-16 dalam masa 44 minit.

Seterusnya tiba giliran beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Greysia Polii-Apriyani Rahayu.

Apa yang menakjubkan, Pearly dan Thinaah hampir mengaibkan gandingan nombor enam dunia itu, di mana mereka memaksa Greysia dan Apriyani beraksi selama 1 jam 31 minit sebelum tewas tipis 20-22, 21-17, 18-21.

Pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, muncul wira yang membawa Malaysia ke separuh akhir selepas menewaskan gandingan nombor empat dunia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.

Biarpun ia merupakan kali pertama kedua-dua gandingan berkenaan bertemu, Pang Ron da Yee See mencipta kejutan apabila memenangi set pertama 21-19.

Selepas tewas 9-21 dalam set berikutnya, pasangan negara itu meningkatkan keamatan permainan mereka sebelum mengesahkan kemaraan Malaysia selepas menanamatkan pertarungan selama lebih sejam itu dengan kemenangan 21-16 dalam set penentuan.

Malaysia seterusnya akan sekali lagi berdepan Jepun dalam aksi separuh akhir malam ini.

Sebagai rekod, skuad negara tewas 1-4 kepada Negara Matahari Tebit itu dalam perlawanan terakhir Kumpulan D kelmarin.



*Kredit foto: BAM