Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata keputusan untuk menurunkan barisan kedua ketika menentang Mesir dalam aksi Kumpulan D, Piala Sudirman semalam merupakan sesuatu yang penting demi masa depan skuad badminton negara.

Malaysia menurunkan barisan kedua dalam perlawanan di Energia Areena, Finland itu tetapi masih dapat meraih kemenangan bersih 5-0 ke atas Mesir, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

Antara pemain yang mencuri tumpuan dalam perlawanan itu adalah perseorangan lelaki, Ng Tze Yong -- yang menggantikan Lee Zii Jia -- selain beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Malaysia seterusnya akan menentang Jepun bagi perebutan juara Kumpulan D esok dan Choong Hann berasakan tidak mustahil untuk pemain barisan kedua berkenaan diturunkan dalam perlawanan itu.

"Kami kira ia satu pendekatan yang agak tepat, bukan sahaja kerana kita menang tetapi ia juga merupakan pendedahan penting untuk mereka belajar membiasakan diri dan memikul tanggungjawab berjuang untuk negara," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Yeoh Pek Xian

"Kami akan mengadakan perbincangan sesama jurulatih hari ini dan ada kemungkinan (pemain barisan kedua diturunkan menentang Jepun) tetapi ia bergantung kepada strategi kami.

"Buat masa sekarang, sukar untuk saya ulaskan dengan lebih lanjut, kami hanya akan membuart keputusan itu selepas perbincangan berkenaan.

"Kami ada beberapa pilihan dan yang pertama adalah berusaha menewaskan Jepun untuk menjadi juara kumpulan .

"Yang kedua pula adalah kami boleh membariskan pemain muda untuk menimba pengalaman.

"Kedua-dua aspek itu akan dibincangkan dan kami akan membuat keputusan yang terbaik tetapi kemungkinan itu ada," katanya.