Piala Sudirman: Malaysia sahkan tempat ke suku akhir selepas benam Mesir

Muzaffar Musa
September 28, 2021 16:02 MYT
Skuad badminton negara mengesahkan tempat dalam suku akhir Piala Sudirman 2021 selepas merekodkan kemenangan bersih 5-0 ke atas Mesir dalam perlawanan kedua Kumpulan D di Energia Areena, Finland sebentar tadi.
Biarpun sekadar menurunkan barisan kedua dalam aksi kali ini, jurang kualiti di antara kedua-dua pasukan jelas kelihatan, di mana Mesir -- yang hanya membariskan empat pemain, tidak dapat memberikan saingan.
Turun membuka cabaran Malaysia adalah beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei, yang hanya memerlukan 20 minit untuk membenam pasangan Ahmed Salah-Nour Ahmed Youssri 21-6, 21-7.
Dengan merehatkan taruhan utama dalam acara perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong memanfaatkan sepenuhnya kepercayaan yang diberikan barisan kejurulatihan skuad negara untuk mudah menewaskan Mohamed Mostafa Kamel 21-8, 21-2 dalam masa 24 minit.
Rentak cemerlang itu diteruskan perseorangan wanita, Eoon Qi Xuan, apabila hanya perlu beraksi selama 23 minit sebelum menundukkan Doha Hany.
Beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, meletakkan Malaysia selesa di kedudukan 4-0 dengan menewaskan Mohamed Mostafa Kamal-Ahmed Salah 21-7, 21-6.
Kemenangan bersih Malaysia kemudian dilengkapkan gandingan beregu wanita, Teoh Mei Xing-Yap Ling, yang menewaskan Nour Ahmed Youssri-Doha Hany 21-14, 21-9.
Seterusnya, Malaysia akan berdepan Jepun dalam penentuan tangga teratas Kumpulan D, Khamis ini.
*Kredit foto: BAM
#badminton #Mesir #Badminton Piala Sudirman