Malaysia perlu berwaspada dengan kekuatan England dalam Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Vantaa, Finland bulan depan, kata pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia.

Skuad badminton negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Mesir menjelang kejohanan berpasukan campuran itu.

Bagi taruhan utama, Zii Jia, pasukan negara mungkin berkelebihan dalam acara perseorangan lelaki dan wanita untuk berdepan England tetapi perlu berhati-hati dalam acara beregu kerana lawan itu memiliki dua gandingan lelaki dalam kelompok 20 terbaik dunia selain kelihatan kuat dalam acara beregu wanita dan campuran -- seandainya Malaysia tidak menggunakan khidmat pemain profesional.

"Mesir sememangnya bukan masalah besar tetapi jika kita melihat kepada barisan pemain England, kita tidak boleh memandang rendah mereka," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.

"Mereka mempunyai beregu wanita dan campuran yang agak baik selain beregu lelaki sedang meningkat naik.

"Saya tidak tahu mereka akan menggunakan gandingan yang mana kerana mereka mempunyai dua beregu lelaki yang bagus.

"Jadi, secara keseluruhannya, mereka agak kuat juga dan kami tidak boleh memandang rendah," katanya.

Zii Jia turut berharap rakan sepasukannya akan bijak menyerap tekanan kerana tanggungjawab mereka dalam kejohanan itu bukanlah secara individu tetapi secara berpasukan.

"Saranan yang saya boleh berikan adalah ini bukanlah kejohanan individu, jadi sudah pasti anda tidak boleh mengelak daripada tekanan.

"Saya fikir semua pemain akan memiliki perasaan sama kerana tiada siapa mahukan kekalahan, terutama dalam kejohanan berpasukan seperti ini.

"Kerana jika anda kalah, ia pasti akan menjejaskan motivasi pemain lain.

"Jadi, nasihat saya buat mereka adalah kekuatan mental akan menjadi sangat penting kerana jika anda tidak bersedia secara mental, anda tidak akan dapat mengawal tekanan dan beraksi baik," katanya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Sudirman adalah layak ke peringkat separuh akhir dalam edisi di Guangzhou pada 2009.