Malaysia diundi berdepan musuh tradisi serantau, Indonesia, selepas menamatkan perjuangan dalam Kumpulan D, Piala Sudirman 2021, di tempat kedua.

Kekalahan 1-4 kepada Jepun di Vantaa, Finland, sebentar tadi menyimpulkan skuad negara perlu meningkatkan usaha untuk melepasi halangan suku akhir yang bermula 9 malam ini.

Skuad negara memulakan aksi hari ini dengan kemenangan menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Namun, ia bukan mudah untuk dijelmakan apabila mereka perlu mengerah keringat sebelum mencapai kemenangan 22-20, 14-21, 21-16 ke atas Takuro Hoki-Yuko Kobayash.

Begitupun, rentak itu gagal dipertahankan wakil selebihnya apabila masing-masing kecundang straight set.

Akane Yamaguchi kemudian menunjukkan kepada S. Kisona bahawa perseorangan wanita negara selaku juara Sukan SEA 2019 itu untuk lebih bersiap sedia mencabarnya sebagai pemain elit kelima dunia dengan kemenangan 21-14, 21-14.

Harapan untuk Malaysia kembali memimpin pertarungan itu tidak menjadi kenyataan apabila Lee Zii Jia tumpas kepada jaguh nombor satu dunia, Kento Momota, 18-21, 10-21.






Malah, beregu negara, Pearly Tan-M Thinaah, juga harus segera bangkit di samping mencari jalan penyelesaian apabila buntu mengatasi lawan mereka.

Kecederaan pergelangan kaki pada awal permainan Chiharu Shida pada awalnya dilihat boleh menjadi titik tolak kepada beregu wanita itu.

Bagaimanapun, Shida dan pasangannya, Nami Matsuyama, tetap kental beraksi selain dibantu aksi agak gopoh pemain Malaysia itu untuk meraih kemenangan 21-16, 21-17 sebelum beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, kecundang 16-21, 9-21 kepada Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Keputusan penuh undian suku akhir:

China lawan Denmark
Korea Selantan lawan Thailand
Jepun lawan Taiwan
Indonesia lawan Malaysia

Kredit imej: Asiana