Bekas pakar beregu wanita negara, Woon Khe Wei, sambut baik pelan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengambil risiko menghantar pemain muda menyertai tiga saingan, Piala Sudirman, Piala Thomas dan Piala Uber.

Baginya terutama membabitkan acara wanita, biarpun tiada kelibat pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja, Goh Jin Wei, yang mempunyai pengalaman beraksi dalam edisi di Nanning 2018, Khe Wei tetap menaruh keyakinan dengan sandaran seperti S. Kisona dan Eoon Qi Xuan.

Mereka berpengalaman membantu Malaysia meraih pingat perak ketika Kejohanan Berpasukan Asia di Manila 2019 menjelang Piala Sudirman, bermula 26 September hingga 3 Oktober depan.

Sandaran dalam beregu wanita juga tampak meyakinkan menerusi M. Thinaah-Pearly Tan yang mencatat kejayaan membanggakan apabila bukan sahaja mencipta kejutan menyingkirkan beberapa pasangan pilihan dalam Terbuka Thailand awal tahun ini, malah turut merangkul kejuaraan dalam Terbuka Switzerland, Mac lalu.

Dalam erti kata lain, skuad muda yang dihantar ini tidak boleh diremehkan berdasarkan ilmu yang cukup untuk berentap di atas gelanggang.

"Bukan Malaysia sahaja, pasukan seperti China dan Korea Selatan juga (mempertaruhkan barisan muda).

"Ramai pemain mereka sudah meninggalkan kem kebangsaan dan fokus kepada pelapis.





"Kalau tidak diberi fokus begitu, pelapis tiada peluang.

"Ini satu peluang yang bagus untuk pemain muda negara untuk beraksi.

"Kalau jarang diberi peluang, mereka pasti akan gementar (di atas gelanggang) dan rentak permainan langsung tiada, saya pernah melaluinya.

"Kehadiran pemain senior akan memberikan kata-kata semangat sambil memberi panduan buat mereka," katanya di Nadi Weekend hari ini.