Beregu campuran Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich, mengakui hakikat Malaysia terlalu hebat berbanding ketika pertemuan pada 2013 dan sukar untuk sekali lagi melakukan kejutan dalam Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, hari ini.

Herttrich menyifatkan lawan mereka, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, begitu ampuh dalam gelanggang untuk membantu Malaysia meraih kemenangan 5-0.

"Lawan kami sangat kuat, mereka bertahan dan menyerang dengan baik. Malaysia berhak meraih kemenangan," kata Herttrich, yang bergandingan Lamsfuss, tewas 13-21, 17-21.

"Terlalu banyak kesilapan yang dilakukan membuatkan kami tewas dalam perlawanan ini," kata Lamsfuss.

Dalam kejohanan di Kuala Lumpur pada 2013, Malaysia tewas 2-3 di tangan Jerman.

Sementara itu, pemain muda perseorangan lelaki Jerman, Fabien Roth, yang menduduki ranking ke-38 dunia mengakui lawannya, Datuk Lee Chong Wei, berada dalam kelas berbeza.

Bagaimanapun, dia gembira mendapat pengalaman beraksi dalam satu gelanggang bersama ikon badminton Malaysia itu.

"Saya sangat memerlukan pengalaman untuk beraksi dengan pemain seperti Chong Wei. Saya amat memerlukannya," jelas Fabian, yang tewas 12-21, 11-21.