Piala Sudirman: Beri saya masa untuk saingi Momota

Penulis Jemputan
Mei 24, 2019 10:43 MYT
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, meminta diberikan sedikit masa untuk bersaing dengan jaguh utama dunia, Kento Momota, selepas Malaysia tewas 3-0 dalam aksi suku akhir Piala Sudirman kepada Jepun, hari ini.
Zii Jia pernah berentap dengan Momota dua tahun lalu dalam Terbuka Republik Czech, dengan Zii Jia ketika itu diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan, namun tewas mudah 8-21, 10-21.
Berbeza kali ini, meskipun ramalan umum mengatakan perkara sama akan berulang, Zii Jia tampil dengan aksi meyakinkan dengan cuba mengikut setiap gerak langkah Momota sehingga untuk seketika membuat pemain nombor satu dunia itu buntu.
Zii Jia mengakui jurang pengalaman dan teknikal menjadi pemisah yang menyaksikan dia tewas 18-21, 16-21, namun percaya tidak mustahil untuk dia mengatasi pemain itu suatu hari nanti, dengan syarat mengikuti rapat rejim latihan yang disediakan jurulatih, Datuk Misbun Sidek.
"Saya menggunakan cara Momota untuk bersaing dalam perlawanan ini, terdapat ruang untuk saya mengatasinya, cuma dia tampil lebih unggul," kata Zii Jia.
Perseorangan wanita, Soniia Cheah juga mempamerkan tanda-tanda positif setelah dia memberikan tentangan sengit kepada pemain nombor dua dunia, Nozomi Okuhara, dalam aksi suku akhir sebelum tewas 16-21, 13-21.
Soniia menggalas tugas itu setelah rakan sepasukan, Goh Jin Wei, tidak cergas sepenuhnya.
Biarpun gagal menyumbang mata, dia mengakui persembahan dalam Piala Sudirman memberi motivasi yang baik buat dirinya apabila diselubungi masalah prestasi sebelum ini.
"Saya berasakan perlu bekerja lebih keras. Saya perlu pertingkat kepantasan di atas gelanggang kerana barisan elit dunia memiliki kepantasan yang konsisten," kata Soniia.